Saturday, 2 June 2012
Friday, 1 June 2012
Mengenali Perawakan Rasulullah

Oleh: Ustaz Shauqi
Saban
tahun majlis sambutan maulidurrasul biasanya akan disambut dengan
begitu meriah dengan selawat ke atas nabi secara beramai-ramai, majlis
berzanji, mengadakan jamuan makan dan sebagainya. Namun, secara sedar
atau pun tidak, di sebalik kehangatan sambutan tersebut, berapa ramaikah
yang benar-benar mengenali Rasulullah? Berapa ramaikah juga yang
memahami isi kandungan berzanji yang dialunkan dengan begitu merdu yang
menceritakan tentang kehidupan nabi itu? Sedangkan umat Islam mengetahui
bahawa dengan kelahiran Rasulullah ke atas dunia ini, ia membawa sejuta
rahmat kepada umat manusia keseluruhannya. Allah s.w.t sendiri telah
menyatakan dalam al-Quran Surah al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud: ‘Tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam’.
Sesuatu
yang tidak diragukan lagi bahawa Rasulullah s.a.w. telah diutus untuk
memimpin ummah. Baginda merupakan contoh terbaik yang bersifat universal
iaitu keseluruhan hidup Junjungan dapat dijadikan ikutan dan contoh di
sepanjang zaman. Dalam hal ini, Allah s.w.t telah menyatakan dalam
al-Quran, Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud : ‘Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu’.
Rasulullah s.a.w. adalah merupakan pemimpin ummah yang boleh diikuti
dan dicontohi dalam segenap kehidupan; peribadi yang luhur dan murni,
seorang manusia yang sentiasa menyeru kepada jalan Allah dengan penuh
hikmah, seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan
amanah dan cekap, seorang suami mithali, seorang bapa yang bijak
menyempurnakan tanggungjawab terhadap anak, seorang sahabat yang setia,
seorang jiran yang memahami jirannya, dan lain-lain lagi. Jelasnya,
kepemimpinan Rasulullah terserlah dalam seluruh kehidupan baginda.
Di
samping memiliki akhlak dan keperibadian yang tinggi, Rasulullah saw
juga merupakan seorang insan yang mempunyai perawakan yang menarik dan
cantik. Walaupun rupa paras bukanlah menjadi suatu tuntutan untuk
diikuti dan diteladani kerana ia merupakan anugerah Allah swt secara
khusus kepada setiap makhlukNya, namun apabila dapat mengenali perawakan
seseorang, maka akan bertambah rasa kasih dan dekat padanya. Justeru,
pepatah Melayu telah menyatakan 'Tak kenal, maka tak cinta'.
Mengenali
perawakan Rasulullah juga akan menghindarkan diri daripada tertipu
dengan mainan dan tipu daya syaitan. Pernahkah kita mendengar ada orang
berkata bahawa dia bermimpi bertemu Rasulullah? Memang bermimpi bertemu
dengan Rasulullah merupakan sesuatu yang istimewa. Menurut para ulama',
terdapat tiga kategori bagi mimpi iaitu:
- Mimpi baik daripada Allah
- Mimpi buruk daripada syaitan
- Mimpi yang terjadi hasil fikiran yang menghantui diri mengenai sesuatu perkara.
Bermimpi
bertemu Rasulullah termasuk dalam kategori yang pertama iaitu mimpi
baik daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: Sesiapa yang melihatku di
dalam mimpi, maka sesungguhnya benarlah dia melihat diriku kerana
syaitan tidak dapat menyerupaiku'.
Namun,
sesuatu yang harus diberi perhatian ialah walaupun syaitan tidak boleh
menyerupai Rasulullah, tetapi ia boleh menyerupai manusia lain seperti
Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, dan mendakwa sebagai Rasulullah.
Justeru, untuk mengatasi masalah ditipu dan diperdaya oleh syaitan, maka
umat Islam perlu mengenali perawakan dan rupa bentuk Rasulullah saw.
Imam
Abu 'Isa Muhammad Ibn Isa al-Tirmidhi telah menyatakan bahawa adalah di
luar kemampuan manusia untuk melukis gambaran mengenai rupa bentuk
Rasulullah saw. Namun begitu, para sahabat yang amat kasih dan cinta
kepada Rasulullah telah sedaya upaya menggambarkan kepada kita tentang
perawakan Rasulullah saw ini. Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa
keseluruhan kekacakan Rasulullah tidaklah dizahirkan, sekiranya
dizahirkan manusia tidak dapat menoleh sedikit pandangan pun ke arah
baginda.
Telah dinyatakan dalam kitab al-Syifa Bita'rif Huquq al-Mustafa
oleh al-Qadi 'Iyad al-Andalusi bahawa terdapat hadis-hadis dan
athar-athar sahih yang banyak didatangkan oleh para sahabat tentang
perawakan nabi saw. Antara sahabat yang menceritakan tentang rupa bentuk
Rasulullah ialah Ali Bin Abu Talib, Anas Bin Malik, Abu Hurairah,
al-Barra' Bin 'Azib, Aisyah Ummul mukminin, Ibnu Abbas, Abu Tufail dan
lain-lain lagi. Antara gambaran Rasulullah yang telah dinyatakan oleh
para sahabat ialah kulitnya yang putih, mata yang cantik, rambut yang
lebat, wajah yang bersinar, bulu kening halus memanjang hingga ke
penghujung mata, hidung yang mancung, janggut yang tebal hingga ke dada,
dada yang bidang, sederhana tinggi iaitu tidak terlalu tinggi dan tidak
terlalu rendah, apabila bercakap seolah-olah cahaya keluar dari gigi
baginda dan lain-lain lagi (Sila rujuk kitab al-Syifa oleh al-Qadi 'Iyad, 1986, cetakan Dar al-Faiha', Amman, juzuk 1 halaman 147-149).
Al-Barra'
Bin 'Azib berkata bahawa beliau tidak pernah melihat sesiapa yang
terlebih tampan daripada Rasulullah saw. Jabir pula telah meriwayatkan
bahawa pada suatu ketika semasa malam bulan purnama terang-benderang,
beliau melihat kepada wajah Rasulullah dan juga melihat ke arah bulan,
dan mengikut pandangannya wajah Rasulullah terlebih cantik dan berseri
daripada bulan dan cahayanya.
Anas
pernah berkata bahawa: 'Rasulullah saw tidaklah tersangat tinggi dan
tidak juga tersangat rendah, dan warna wajah Rasulullah tidaklah terlalu
putih seumpama air kapur dan tidak pula pucat pudar (warna kulit putih
kemerahan), rambut Rasulullah tidaklah terlalu lurus dan tidak pula
terlalu kerinting (rambut ikal mayang)….dan uban yang ada pada rambut
dan janggutnya tidak melebihi dua puluh helai'.
Manakala
Saidina Ali pula ketika menceritakan perawakan Rasulullah saw, beliau
berkata: 'Rasulullah tidaklah tersangat tinggi dan tidak juga tersangat
rendah tetapi memiliki tubuh badan sederhana, rambut baginda tidak
terlampau lurus dan tidak juga terlampau berketak-ketak tetapi
berkeadaan berombak (ikal). Badannya tidak gemuk. Wajahnya tidak bulat
tetapi bujur. Warna wajah Rasulullah putih dengan sedikit
kemerah-merahan. Matanya tersangat hitam dan bulu keningnya panjang.
Tulang-tulang sendi di badannya tebal (besar)- (pergelangan tangan,
siku, lutut). Bahagian di antara kedua-dua bahu dipenuhi daging-daging
(berisi). Badan Rasulullah tidak berbulu di seluruh tubuh badan, walau
bagaimanapun terdapat suatu garisan bulu daripada dada terus ke pusat.
Tangannya yang mulia penuh dengan isi-isi daging. Apabila Rasulullah
berjalan, baginda akan melangkah ke hadapan dengan kukuhnya,
seoalah-olah baginda berjalan menuruni tanah curam, iaitu menuruni dari
tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Apabila baginda menumpukan
perhatian kepada seseorang, baginda melakukannya dengan seluruh jasadnya
(memusingkan seluruh tubuh dan menoleh mukanya). Di antara dua bahunya
terdapat tanda kenabian. Pangkat kenabian berakhir padanya. Baginda
terlebih dermawan daripada segala makhluk dan paling dipercayai
percakapannya dan terlebih lembut hatinya daripada semua manusia.
Baginda adalah daripada golongan keluarga yang paling mulia'. (Sila rujuk kitab Insan Teladan Sepanjang Zaman oleh Mufti Ahmed Ibrahim Bemat, 1996, cetakan Dar al-Nu'man, halaman 10-11).
Kitab-kitab
sirah juga menggambarkan Rasulullah sebagai insan yang paras mukanya
manis dan indah, tidak terlampau tinggi, juga tidak pendek, dengan
bentuk kepala yang besar, berambut hitam antara keriting dan lurus.
Dahinya lebar dan rata di atas sepasang alis yang lengkung lebat dan
bertaut, sepasang matanya lebar dan hitam, di tepi-tepi putih matanya
agak kemerah-merahan, tampak lebih menarik dan kuat, pandangan matanya
tajam, dengan bulu-mata yang hitam pekat. Hidungnya halus dan merata
dengan barisan gigi yang bercelah-celah. Jambangnya lebar sekali,
berleher panjang dan indah. Dadanya lebar dengan kedua bahu yang bidang.
Warna kulitnya terang dan jernih dengan kedua telapak tangan dan
kakinya yang tebal. Bila berjalan badannya agak condong ke depan,
melangkah cepat-cepat dan pasti. Air mukanya membayangkan renungan dan
penuh fikiran, pandangan matanya menunjukkan kewibawaan, membuat orang
patuh kepadanya.
Ringkasnya perawakan Rasulullah adalah seperti yang berikut:
- Seorang yang kacak.
- Rasulullah saw jauh lebih cantik daripada sinaran bulan, Rasulullah saw juga seumpama matahari yang bersinar.
- Apabila Rasulullah saw berasa gembira, wajahnya bercahaya seperti bulan purnama . Kali pertama memandangnya, sudah tentu akan terpesona
- Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat. Wajahnya seperti bulan purnama
- Dahi Baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya. Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
- Mata Baginda hitam dengan bulu mata yang panjang. Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya.
- Hidungnya agak mancung
- Mulut baginda sederhana luas dan cantik
- Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan. Apabila berkata-kata cahaya kelihatan memancar dari giginya
- Janggutnya penuh dan tebal menawan
- Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih seperti perak yang sangat indah.
- Kepalanya besar tapi elok bentuknya
- Rambutnya sedikit ikal. Rambutnya tebal sehingga kadang-kala menyentuh pangkal telinga dan kadang-kala mencecah bahu, namun ia disisir rapi. Rambutnya juga terbelah di tengah
- Di tubuhnya tidak banyak bulu kecuali satu garisan bulu menganjur dari dada ke pusat
- Dadanya bidang dan selaras dengan perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih daripada biasa. Kedudukan kedua-dua bahunya adalah seimbang.
- Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya , jarinya juga besar dan tersusun dengan cantik. Tapak tangan Rasulullah saw amat lembut
- Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
- Kakinya berisi, di tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air. Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
- Warna kulitnya tidak putih seperti kapur atau coklat tapi campuran antara coklat dan putih. Warna putihnya lebih banyak. Warna kulit Baginda putih kemerah-merahan.
- Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh
- Badannya tidak gemuk. Perutnya tidak buncit
- Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak. Namun begitu, badannya cenderung kepada tinggi. Semasa berada di kalangan orang ramai, baginda kelihatan lebih tinggi daripada mereka
- Sekalipun baginda miskin dan lapar tapi tubuhnya lebih gagah dan sihat daripada orang yang cukup makan.
Kisah Bilal

BILAL
bin Rabah atau nama lengkapnya Bilal bin Rabah Al-Habasyi dan beliau
biasa dipanggil dengan gelaran Muadzzin Ar-Rasul. Beliau memiliki tubuh
yang tinggi, kurus, kulitnya berwarna coklat, pelipisnya tipis, dan
rambutnya lebat. Ibunya pula adalah hamba kepada Umaiyah bin Khalaf .
Saidina Bilal telah dilahirkan di Al-Sarah sekitar 43 tahun sebelum peristiwa hijrah. Bapanya bernama Rabah dan ibunya pula bernama Hamamah.
Ibunya adalah seorang amah iaitu hamba perempuan yang berkulit hitam.
Oleh yang demikian Bilal juga dipanggil oleh sebahagian masyarakatnya
dengan panggilan Ibnu Al-Sauda’ yang bererti Anak Si Hitam.
Beliau membesar di Ummul Qura (Makkah) dan menjadi hamba kepada salah seorang pembesar yang kafir. Sebaik sahaja terpancarnya sinar Islam di Makkah yang dibawa oleh Rasul yang agung dengan kalimah tauhid, Saidina Bilal adalah diantara orang yang terawal mengucap dua kalimah syahadah. Pada masa itu, yang terawal menerima Islam hanyalah Ummul Mukminin Khadijah Binti Khuwailid, Abu Bakar Al-Siddiq, Ali Bin Abi Talib, Ammar Bin Yasir beserta ibunya iaitu Sumaiyah, Sohaib Al-Rumi, dan Al-Miqdad Bin Al-Aswad.
Apabila beliau mendengar Islam daripada risalah yang dibawa Rasulullah s.a.w, lalu beliau menemui Rasulullah s.a.w dan mengikrarkan dirinya memeluk agama Islam.Bukan sedikit kesakitan yang telah beliau alami, dan lebih ‘istimewa’ lagi ialah cubaan yang beliau terima tidak pernah dilalui oleh orang lain. Ketabahan beliau dan beberapa orang lagi dari golongan mustadh’afin (golongan lemah) tidak dapat ditandingi. Para pembesar Quraisy yang menyeksa mereka sebenarnya ingin memberikan ‘pengajaran’ kepada orang lain agar jangan sekali-kali mengambil risiko untuk mendekati Rasulullah SAW.
Apabila matahari mencacak di langit, batu-batu di padang pasir juga telah membahang, dilucutkan pakaian yang menutupi tubuh mereka, kemudian dipakaikan pula dengan baju yang diperbuat daripada besi, lalu mereka dijemur di tengah-tengah terik mentari. Belakang tubuh mereka disebat dengan cemeti, dan disuruh pula agar mencemuh dan mengutuk Muhammad.
Sebahagian daripada golongan yang lemah dan tidak berdaya ini tidak mampu menanggung azab yang semakin berganda, menyebabkan mereka terpaksa juga mengutuk Nabi dalam keadaan kesal dan hati mereka masih lagi bergantung harap kepada Allah dan RasulNya. Akan tetapi Saidina Bilal tetap tidak berganjak. Jiwanya sudah diserahkan bulat-bulat kepada Allah azza wajalla.
Orang yang bertanggungjawab menyeksa Bilal ini ialah Umaiyah Bin Khalaf bersama konco-konconya. Setiap sebatan mereka disambut oleh Bilal dengan kalimah “Ahad, Ahad” yang bermaksud “Esa, Esa”. Batu besar yang diletakkan di atas dada beliau juga diterima dengan kalimah “Ahad, Ahad”. Semakin dahsyat seksaan yang ‘dihadiahkan’, kalimah yang sama akan terpacul dari mulut beliau, “Ahad, Ahad”. Mereka memaksanya agar menyebut perkataan “Al-Laata dan Al-‘Uzza”, namun “Allah dan RasulNya” pula yang terbit dari bibirnya.
Sekiranya
Umaiyah Bin Khalaf berasa jemu dan letih mengazab Bilal, maka leher
Bilal akan dijerut dengan tali yang besar lalu diserahkan kepada
golongan yang terencat akal dan kanak-kanak kemudian disuruh agar
menarik beliau berarak keliling Makkah.
Tidak sanggup melihat penderitaan ini, Saidina Abu Bakar telah membuat penawaran untuk membeli Bilal. Umaiyah Bin Khalaf pula telah mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang tinggi, harapannya agar Abu Bakar tidak jadi membelinya, namun sangkaan Umaiyah ternyata meleset.
Sebaik sahaja Allah SWT mengizinkan NabiNya untuk pergi berhijrah ke Madinah, Saidina Bilal turut menyertai hijrah ini walaupun hatinya sangat cinta dan sayangkan bumi Makkah yang mempunyai jutaan memori yang sukar dilupakan. Di Yathrib, beliau selamat daripada sebarang kejahatan Quraisy dan dapat meluangkan sepenuh masa untuk bersama-sama dengan kekasihnya Muhammad SAW. Ke mana jua Nabi bergerak, akan kelihatanlah susuk tubuh Bilal di samping baginda. Tatkala Nabi SAW mendirikan masjidnya di Madinah dan disyariatkan azan, Bilal adalah orang yang pertama melaungkan azan dalam sejarah Islam.
Saidina Bilal turut terlibat dalam peperangan Badar dan telah melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Allah SWT mengotakan janjiNya dan menolong para tenteraNya. Beliau telah menyaksikan sendiri individu-individu yang terlibat dalam penyeksaan ke atas dirinya seperti Abu Jahal, Umaiyah Bin Khalaf dan lain-lain lagi putus nyawa mereka dengan pedang tentera muslimin.
Ketika
peristiwa pembukaan Kota Makkah, Rasulullah SAW telah mengajak tiga
orang sahabat baginda untuk memasuki Ka’bah yang terdiri daripada Uthman Bin Tolhah selaku pemegang kunci-kunci Ka’bah yang mulia, Usamah Bin Zaid
iaitu orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW, dan Bilal Bin
Rabah selaku tukang azan baginda SAW. Rasulullah SAW telah memerintahkan
Bilal agar menaiki Ka’bah dan melaungkan azan sebagai simbol
kemenangan.
Bilal terus konsisten menjadi tukang azan sepanjang hayat Rasulullah SAW. Bahkan baginda sendiri sering merindui suaranya yang pernah merasai penderitaan yang dahsyat sambil melaungkan kalimah “Ahad, Ahad”. Setelah Rasulullah SAW ‘berpindah’ kepada Temannya Yang Maha Tinggi, dan tibanya waktu solat, Bilal pun berdiri untuk melaungkan azan sedangkan ketika itu jasad Nabi SAW masih lagi berbalut dan belum dikebumikan. Apabila sampai pada ungkapan أشهد أن محمدا رسول الله , suaranya tersekat-sekat, sebak di dadanya berombak-ombak menyebabkan semua umat Islam yang ada ketika itu turut menitiskan air mata dan mereka tenggelam dalam kesedihan yang amat sangat.
Bilal terus konsisten menjadi tukang azan sepanjang hayat Rasulullah SAW. Bahkan baginda sendiri sering merindui suaranya yang pernah merasai penderitaan yang dahsyat sambil melaungkan kalimah “Ahad, Ahad”. Setelah Rasulullah SAW ‘berpindah’ kepada Temannya Yang Maha Tinggi, dan tibanya waktu solat, Bilal pun berdiri untuk melaungkan azan sedangkan ketika itu jasad Nabi SAW masih lagi berbalut dan belum dikebumikan. Apabila sampai pada ungkapan أشهد أن محمدا رسول الله , suaranya tersekat-sekat, sebak di dadanya berombak-ombak menyebabkan semua umat Islam yang ada ketika itu turut menitiskan air mata dan mereka tenggelam dalam kesedihan yang amat sangat.
Beliau hanya melaungkan azan selama tiga hari sahaja selepas itu kerana setiap kali tiba pada kalimah أشهد أن محمدا رسول الله
beliau akan menangis dan terus menangis. Oleh sebab itu, beliau telah
meminta kebenaran daripada Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq agar tidak lagi
melaungkan azan kerana tidak sanggup lagi menahan kesedihan. Sekaligus
memohon keizinan untuk menyertai jihad di jalan Allah dan melazimi
perjuangan menentang musuh-musuh Allah di bumi Syam. Pada mulanya, Abu
Bakar keberatan untuk memberikan keizinan tersebut kerana Bilal akan
meninggalkan bumi Madinah, akan tetapi selepas mendengar kata-kata Bilal
yang berbunyi, “Sekiranya dahulu
tuan membeli saya untuk kepentingan diri tuan, maka tahanlah saya.
Tetapi jika tuan telah membebaskan saya dahulu kerana Allah, maka
biarkanlah saya menuju kepadaNya”, barulah diizinkannya.
Setelah Bilal meninggalkan Madinah, beliau telah menetap di Daraiya berhampiran dengan Damsyiq. Semenjak itu, beliau tidak lagi melaungkan azan sehinggalah kedatangan Saidina Umar Al-Khattab ke bumi Syam dan bertemu dengan beliau sejak sekian lama tidak bersua. Umar sangat merindui sahabat nabi ini, sehinggakan apabila disebut nama Abu Bakar di hadapannya, maka beliau akan berkata, “Abu Bakar adalah tuan kita, dan dia juga telah memerdekakan tuan kita” yang dimaksudkan dengan ‘tuan kita’ yang kedua ialah Bilal Bin Rabah.
Di Syam, para sahabat telah memujuk agar Bilal mengumandangkan azan di hadapan Umar. Maka apabila Bilal mula melaungkan azan, bercucuranlah air mata Umar dan hal yang sama juga berlaku kepada para sahabat sehingga basah lencun janggut mereka dengan air mata. Sesungguhnya Saidina Bilal telah membangkitkan kembali kerinduan mereka terhadap kenangan-kenangan indah di Madinah Al-Munawwarah bersama dengan Rasulullah SAW.
Beliau meriwayatkan 44 hadis daripada Rasulullah s.a.w. Di antaranya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kalian menunaikan solat malam (tahajjud), kerana solat malam adalah tradisi (kebiasaan) orang-orang soleh sebelum kalian, dan sesungguhnya solat malam adalah amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, dapat mencegah dari perbuatan dosa, mengampuni dosa-dosa kecil, dan menghilangkan penyakit badan.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi).
Bilal bin Rabah menolak untuk menjadi muazzin bagi seseorang selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.
‘Penyeru Langit’ ini terus bermukim di Damsyiq sehinggalah penghujung hayatnya. Pada saat-saat terakhir beliau, acapkali isteri yang berada di sampingnya berteriak, “Aduhai, alangkah sedihnya!!”, beliau pun segera membuka matanya dan berkata, “Oh, alangkah gembiranya”. Kemudian perkataan-perkataan terakhir yang terpacul dari mulutnya dan diulang berkali-kali ialah, “Esok, aku akan bertemu dengan kekasih-kekasih... Muhammad dan para sahabatnya, esok aku akan bertemu dengan kekasih-kekasih... Muhammad dan para sahabatnya”
Bilal bin Rabah dilahirkan di Kota Mekah sekitar tahun 43 sebelum Hijrah dan meninggal dunia di Damsyik pada tahun 20 Hijrah, dan ada riwayat menyebut bahawa beliau dimakamkan di Halb.
Demikianlah
kisah hidup seorang sahabat Nabi SAW yang hebat peribadinya. Kasih dan
cintanya kepada Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya. Sungguhpun
di awal diari kehidupannya bersama Islam melalui pelbagai onak duri yang
tidak terperi, namun di akhir hayatnya kegembiraan dan kebahagiaan pula
yang dinikmati. Tidakkah kita cemburu dengan beliau?
Ibu Teladan Asma' Binti Abu Bakar As Siddiq, Dzatun Nithaqain
“Ya
Allah! Kasihanilah dia kerana solat yang panjang diselangi tangisan di
tengah kedinginan malam yang sepi, ketika orang-orang lain sedang
nyenyak dibuai mimpi. Ya Allah! Kasihanilah dia yang sering menahan
lapar dan dahaga ketika bertugas jauh dari Madinah atau Mekah dalam
menunaikan ibadah puasa kepadaMu. Ya Allah! Aku menyerahkannya di bawah
pemeliharaanMu, aku redha dengan apa yang telah Engkau tetapkan bagiku
dan baginya, dan berilah kami pahala orang-orang yang sabar...!" [Doa
Asma' radhiallahu anha buat puteranya, Abdullah bin Zubair]
Asma'
binti Abu Bakar As-siddiq, saudara kepada Aisyah Ummul Mukminin (isteri
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam), puteri kepada sahabat
Rasulullah yang mulia, Saidina Abu Bakar As-siddiq, isteri Zubair bin
Awwam, pejuang dan tokoh Islam yang mengutamakan redha Allah di dalam
perjuangannya, Merupakan seorang wanita muhajir yang mulia dan bonda
kepada Abdullah bin Zubair, salah seorang pejuang yang gugur
mempertahankan agamanya, dan sesungguhnya kedudukannya ini cukup untuk
mengangkat darjat beliau ke tempat yang tinggi, mulia dan terpuji.
Peribadinya dirahmati Allah dengan keistimewaan yang sangat menonjol,
setanding dengan para Muslimin di ketika itu, cerdas, cerdik, lincah,
pemurah dan berani.
Kedermawanan
beliau dapat dilihat jelas melalui ucapan anaknya," Aku belum pernah
melihat wanita yang sangat pemurah melebihi ibuku termasuk Aisyah
Radhiallahu anha. Beliau (Aisyah) mengumpulkan apa yang diperolehinya
sedikit demi sedikit, lantas setelah itu barulah dinafkahkannya kepada
mereka yang memerlukannya. Sedangkan ibuku, dia tidak pernah menyimpan
sedikit pun sehingga hari esok"
Kebijaksanaan Dzatun Nithaqain
Kecemerlangan
berfikir Asma Radhiallahu anha terpancar dari sikapnya yang penuh
prihatin dan perhitungan yang bijaksana. Peristiwa Hijrah Abu Bakar
menyaksikan pengorbanan seorang sahabat demi Islam, tidak meninggalkan
sesen pun harta untuk keluarganya melainkan dibelanjakan keseluruhannya
untuk Allah dan rasulNya. Ketika Abu Quhafah (ayah kepada
Abu Bakar radhiallahu anhu) yang masih musyrik menemui keluarganya,
beliau berkata kepada Asma',
"Demi Allah! Tentu ayahmu telah mengecewakanmu dengan hartanya, di samping akan menyusahkanmu dengan pemergiannya!". Jawab
wanita yang mulia ini, "Tidak wahai datuk! sekali-kali tidak! Beliau
banyak meninggalkan wang buat kami" ujarnya sambil menghibur dan
menenangkan datuknya. Dikumpulkannya batu-batu kerikil yang kemudiannya
dimasukkan ke dalam lubang tempat kebiasaannya menyimpan wang. Kemudian
dibawakan datuknya yang buta itu ke tempat simpanan tersebut, lantas
berkata, "Lihatlah datukku! Beliau banyak meninggalkan wang buat kami!".
Perkataan tersebut ternyata berjaya meyakinkan Abu Quhafah. Maksud
perbuatan tersebut adalah untuk menyenangkan hati datuknya, agar tidak
bersusah hati memikirkan hal tersebut. Malah, Asma' juga
tidak menginginkan bantuan dari orang musyrik meskipun datuknya sendiri.
Inilah bukti yang menunjukkan besarnya perhatian beliau terhadap dakwah
dan kepentingan kaum Muslimin.
Diberi
julukan sebagai 'dzatun nithaqain' oleh Rasulullah yang membawa erti
"wanita yang mempunyai dua tali pinggang", sebagai peringatan terhadap
peristiwa Hijrah yang menyaksikan pengorbanan dan keberanian Asma' yang
tiada tolok bandingannya. Beliau bersusah payah menyediakan bekalan
makanan dan minuman buat Rasulullah dan Abu Bakar Radhiallahu anhu di
saat genting seperti itu. Beliau mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua
untuk dijadikan tali pengikat untuk mengikat bekalan makanan dan
minuman tersebut, sehingga kerana peristiwa itu Rasulullah mendoakan
beliau agar digantikan tali pinggang tersebut dengan yang lebih baik dan
lebih indah di syurga kelak.
Tidak
hanya itu pengorbanan Asma Radhiallahu anha. Peristiwa hijrah ini turut
menyaksikan kekuatan berfikir dan perancangan strategi yang dimiliki
oleh seorang Muslimah hasil dari aktiviti politik dan kecemerlangan
berfikir yang diadun dengan ketaqwaan dan keimanan yang teguh. Asma'
Radhiallahu anha bukan sekadar menjadi penghantar makanan kepada dua
orang sahabat yang berperanan penting bagi umat Islam, malah beliau juga
menyampaikan berita-berita penting tentang rencana-rencana pihak musuh
terhadap kaum Muslimin. Dengan kehamilannya ketika itu, Asma' mengambil peranan
yang menjanjikan risiko tinggi, di mana bukan saja nyawanya menjadi
taruhan, malah lebih dari itu, nyawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa
Sallam dan ayahnya turut sama terancam. Memikirkan kemarahan musuh Islam
lantaran lolosnya Rasulullah dari kepungan, kafir Quraisy pastinya akan
berusaha bersungguh-sungguh mencari-cari Rasulullah Sallallahu Alaihi
wa Sallam untuk dibunuh kerana bencinya mereka terhadap dakwah Islam dan
pejuang-pejuangnya.
Di
saat-saat genting seperti itu, Asma' mampu meramal segala kemungkinan
yang bakal berlaku, dan dengan kecerdikan dan penuh perhitungan, beliau
berjalan menuju Gua Tsur sambil menggembala kambing-kambingnya berjalan
di belakangnya. Taktik ini dilakukan untuk mengaburi mata pihak musuh
kerana jejaknya terhapus oleh jejak-jejak kambing gembalaannya itu.
Tindakan ini belum tentu mampu dilakukan oleh seorang lelaki yang berani
sekalipun, lantaran hal tersebut bakal mengundang bahaya, kezaliman,
dan kekejaman orang-orang kafir Quraisy.
Permasalahan
ini tidak cukup sampai di situ. Setelah kejayaan Rasulullah dan Abu
Bakar keluar dari tempat persembunyian dan berhasil berhijrah ke
Madinah, Asma' Radhiallahu anha dan keluarganya didatangi beberapa orang
Quraisy, di antaranya Abu Jahal yang telah bertindak kasar menampar
pipi Asma’ Radhiallahu anha dengan sekali tamparan yang mengakibatkan
subangnya terlepas!. Asma' menjawab dengan penuh diplomasi saat beliau
ditanya tempat persembunyian Rasulullah dan ayahnya dengan berkata,"
Demi Allah, aku tidak tahu di mana ayahku berada sekarang!"
Hijrah
Asma' Radhiallahu anha dan suaminya ke Madinah berlaku selang beberapa
lama dari hijrah sebelumnya, di mana pada ketika itu Asma' sedang sarat
mengandungkan Abdullah bin Zubair dan hanya menanti detik-detik
kelahirannya. Perjalanan yang jauh dan berbahaya ditempuhi jua
sehinggalah angkatan para sahabat tiba di Quba'. Kelahiran anak pasangan
sahabat ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Dialah
bayi pertama yang dilahirkan di Madinah.
Sebaik-baik Ummu wa Rabbatul Bait
Seorang
muhajirah yang agung, antara wanita yang awal memeluk Islam, sangat
memuliakan suaminya meskipun Zubair hanya seorang pemuda miskin yang
tidak mampu menyediakan pembantu buatnya. Hatta tidak mempunyai harta
yang dapat melapangkan kehidupan keluarganya, melainkan hanya seekor
kuda yang dijaganya dengan baik. Beliaulah isteri yang sentiasa sabar
dan setia berkhidmat untuk suaminya, sanggup bekerja keras merawat dan
menumbuk sendiri biji kurma untuk makanan kuda suaminya di saat Zubair
sibuk menjalankan tugas-tugas yang diperintah Rasulullah kepadanya.
Di
dalam didikannya, keperibadian Abdullah bin Zubair dibentuk. Beliau
adalah susuk seorang ibu yang sangat memahami peranannya dalam
melahirkan generasi utama yang berkualiti, generasi yang menjadikan
kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas segala-galanya, sama ada
harta, isteri, keluarga mahupun segala jenis perbendaharaan dunia.
Beliau mencetak keperibadian generasi yang siap berjuang membela bendera
Islam dan kalimah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah. Keperibadian
seperti ini terpancar jelas di dalam diri puteranya, Abdullah bin
Zubair. Hal ini dapat kita teladani melalui kisah pertemuan terakhir di
antara seorang ibu dan anak yang saling menyayangi dan mencintai satu
sama lain, semata-mata kerana kecintaan keduanya kepada Allah Subhanahu
wa Taala dan RasulNya.
Abdullah: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, wahai ibunda!
Asma':
Wa'alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh, ya Abdullah! Mengapa
engkau datang ke sini di saat-saat seperti ini? Padahal batu-batu besar
yang dilontarkan Hajjaj kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota
Mekah?
Abdullah: Aku hendak bermusyawarah dengan ibu
Asma': Tentang masalah apa?
Abdullah:
Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh.
Mungkin kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana
mereka menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan
isteriku sendiri berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera
yang tinggal bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah menawarkan
kepadaku apa saja yang ku minta berupa kemewahan dunia asal saja aku
bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik
bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai ibu?
Asma':
Terserah kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang mengetahui
tentang dirimu? Jika engkau yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq
dan mengajak kepada kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana
para perajuritmu yang telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini!
Akan tetapi, jika engkau menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu
engkau adalah seorang anak lelakiku yang pengecut! dan bererti engkau
sedang mencelakakan dirimu sendiri dan menjual murah harga
kepahlawananmu selama ini, anakku!
Abdullah: Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.
Asma' : Itu lebih baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak-budak Bani Umayyah dengan mempermainkan janji-janji mereka yang sangat sukar untuk dipercayai!
Abdullah: Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazahku dengan kejam!
Asma':
Tidak ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita
sesudah kita mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit
lagi ketika kulitnya dikupas orang!
Abdullah:
Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk mendengar
apa yang telah ku dengar dari ibu sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui,
aku bukanlah orang yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha Mengetahui
bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh dunia dan segala kemewahannya.
Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan segala yang diharamkanNya.
Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh menjalani segala nasihat Ibu.
Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala urusan dari kehidupan
Ibu, serahkanlah kepada Allah!
Asma': Yang ibu khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat.
Abdullah:
Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk
berbuat keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan
tidak memperdulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini
mengutamakan keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu
dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di
dalam sanubari Ibu.
Asma':
Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu
dengan apa yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu
wahai anakku, Ibu ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah
saat terakhir untuk ibu memelukmu..."
Abdullah:Jangan bosan mendoakan aku Ibu!
Sebelum
matahari terbenam di petang itu, Abdullah bin Zubair syahid menemui
Rabbnya. Dia kembali kerana mengutamakan redha Allah dan redha ibunya
yang beriman. Diriwayatkan, bahawa Al-Hajjaj berkata kepada Asma'
setelah Abdullah terbunuh :"Bagaimanakah engkau lihat perbuatanku
terhadap puteramu ?" Asma' menjawab :"Engkau telah merosak dunianya,
namun dia telah merosak akhiratmu." Asma' wafat di Mekkah dalam usia 100
tahun, sedang giginya tetap utuh, tidak ada yang tanggal dan akalnya
masih sempurna. [Mashaadirut Tarjamah : Thabaqaat Ibnu Saad, Taarikh
Thabari, Al-Ishaabah dan Siirah Ibnu Hisyam]. Semoga Allah meredhai kedua hambaNya, Asma' dan puteranya.
Khatimah
Inilah
sebuah teladan yang sangat berharga buat kita semua. Asma' Radiallahu
anha bukan sahaja menunjukkan keberaniannya, kepatuhannya kepada Allah,
suami dan ayahnya, juga pengorbanannya yang besar, sikap dermawannya dan
kecemerlangan berfikir yang menjadi cermin keperibadiannya. Bersama
suaminya, Zubair bin Awwam, terbentuklah keluarga sakinah, mawaddah wa
rahmah, bukan kerana harta yang melimpah ruah, tetapi limpahan
barakah dan rahmat dari Allah Subhanahu wa Taala kerana ahli
keluarganya yang menjadikan kecintaan mereka hanya kepada Allah dan
Rasul di atas kecintaan-kecintaan lainnya. Dari keluarga ini, lahirlah
seorang syuhada yang gagah berani, tidak takut terhadap apapun kecuali
Allah Subhanahu wa Taala Semoga kisah Asma’ Abu Bakar ini
akan sentiasa mekar di jiwa kita sebagai motivasi diri dalam menyemai
kecintaan serta menjalankan kewajipan terhadap Rabbul Izzati.
SUMBER :http://www.islam2u.net/index.php?option=com_content&view=article&id=189:ibu-teladan-asma-binti-abu-bakar-as-siddiq-dzatun-nithaqain&catid=14:kisah-kisah-sahabat&Itemid=75
SUMBER :http://www.islam2u.net/index.php?option=com_content&view=article&id=189:ibu-teladan-asma-binti-abu-bakar-as-siddiq-dzatun-nithaqain&catid=14:kisah-kisah-sahabat&Itemid=75
Subscribe to:
Posts (Atom)